PANJI ISLAM

Khilafah

Ahad, 23 Mei 2010

Melangkah Menuju Ke Jalan Allah


Pemeliharaan Diri dari Dosa.

Ketahuilah wahai saudara-saudaraku di perjalanan menuju Allah,sesungguhnya anda tidak akan sampai kepada penunaian rintah-perintah Allah kecuali dengan menjaga hati dan anggota-anggota badanmu pada setiap saat dan ketika. Allah swt melihat bisikan hatimu. Ia mengetahui setiap lintasan yang ada pada dirimu, mengetahui setiap fikiran, setiap langkah dan apa pun juga perbuatanmu, baik kamu sedang bergerak maupun sedang berdiam diri. Meskipun anda berada di tengah-tengah pergaulan atau bersunyi-sunyi sendirian, adalah kesemua itu tetap berada di dalam kehadiranNya. Lantaran itu awasilah dirimu, jauhilah kemungkaran. Seandainya anda melakukan kemungkaran kepada Allah, sedang anda yakin bahawa Allah swt melihat kelakuan anda itu, maka anda adalah orang yang mengejek-ngejek Tuhan. Sebaliknya jika anda melakukan maksiat sedangkan anda yakin pula bahawa Tuhan tidak melihat kelakuan anda itu, maka sebenarnya anda adalah seorang kafir. Terus-terusan mengerjakan dosa menjadikan hati hitam dan selanjutnya hati itu menjadi kelam dan keras, tidak ada kebersihan dan keheningan serta tidak akan merasa lega dan manis dalam mengerjakan ibadat. Jika Allah tidak memberi rahmat, maka hati yang sedemikian itu akan menarik pemiliknya kepada kekufuran dan kecelakaan. Tanda hitamnya hati ialah seseorang itu tidak merasa kaget atau takut dalam mengerjakan dosa, dan tidak merasa manis dengan mengerjakan ketaatan serta tidak berkesan akan nasihat. Sungguh benar orang yang mengatakan bahawa sekiranya anda tidak merasa kuat mengerjakan sembahyang di malam hari dan puasa di siangnya, itulah suatu tanda bahawa anda terbelenggu oleh dosa-dosa. Bukan sahaja orang yang melakukan maksiat tidak merasakan kelazatan ibadat tetapi juga bagi orang yang bercita-cita untuk melakukannya. Oleh yang demikian, peliharalah dirimu dari melakukan sebarang dosa walaupun ianya hanyalah dosa kecil. Jauhilah ia laksana anda menjauhkan diri dari meminum racun yang berbisa. Hendaklah anda takut dari melakukan dosa itu lebih dari rasa takut dan gentar jika termakan racun yang akan mematikan dirimu sendiri. Padahal hati seorang mukmin itu lebih berharga dari tubuh badannya. Saudara-saudaraku, adalah menjadi kewajipanmu untuk mengenal setiap maksiat, samada yang dilakukan oleh hatimu maupun yang dilakukan oleh tubuh badanmu yang kasar ini. Anda harus mengetahui penyakit-penyakit hati yang sering menyerangmu dan ubat-ubat baginya. Dengan hatimu yang mengidapi penyakit riya', ujub, takabbur, dengki, lalai dan lain-lain itu sudah tentu tidak memungkinkan anda berjaya dalam menjalani jalan menuju Allah. Setiap anggota badanmu juga perlu dijaga. Jagalah lidahmu dari memperkatakan sesuatu yang terlarang baginya. Awasilah pendengaran dan pengelihatan yang merupakan dua pintu yang sentiasa terbuka menuju ke hati. Apa sahaja yang masuk menerusi kedua-dua pancaindera ini akan sampai ke hati. Betapa banyak perkara yang didengar dan dilihat oleh manusia dari hal-hal yang tidak patut sampai kesannya ke hati, lalu sukar pula baginya untuk menghapuskan kesan itu. Allah swt telah berfirman: "Maka Allah mengilhamkan kepada jiwa itu kefasikan dan ketaqwaannya. Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu. Dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya." (Asy-Syams : 8-10) Berbagai jenis manusia yang melakukan dosa. Ada yang sudah berkebiasaan melanggar perintah Allah dan mengerjakan laranganNya sehingga tidak lagi sensitif dengan perbuatannya itu. Ada pula yang melakukan dosa kerana kelemahannya untuk mengawal dorongan nafsu sedangkan ia sendiri menyedari akan kelemahan itu. Sebagai manusia biasa kita tidak terlepas dari golongan ini. Bagaimanakah reaksi kita terhadap dosa yang dilakukan itu? Adakah kita bergembira dan berbangga? Ataupun adakah kita kita segera menyesali dengan apa yang dilakukan itu?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

globe